Sunday 18 April 2010

TINGGAL HARAPAN… APAKAH ITU YANG KITA MAHU SYOK-SYOK SEMBANG JE (ABU SAMAH BIN ZAINAL ABIDIN)

Sistem pendidikan di Malaysia sudah mencapai taraf dunia, adakah itu benar atau sekadar harapan . Adakah dengan penggunaan semua kemajuan dalam ICT berbanding dengan Negara membangun yang lain sudah cukup menggambarkan sistem pendidikan di Malaysia sudah mencapai taraf dunia. Bagaimana kualiti akademik, ko-kurikulum dan sahsiah pelajar yang dilahirkan samada sekolah mahupun IPT.
Pembentukan Negara maju yang dicanangkan dalam Wawasan 2020 di mana kita perlu menghadapi Sembilan cabaran ( Perpaduan, Masyarakat berjiwa maju,Demokrasi yang matang,Masyarakat yang bermoral dan beretika, Masyarkat liberal dan bertolak ansur, Masyarakat saintifik dan progresif, Masyarakat penyayang, Masyarakat adil dan Masyarakat Makmur ) dan dikuti Sembilan wawasan Pendidikan ( Perpaduan, Stail pengurusan dan kepimpinan,Perkhidmatan penyayang, Pengupayaan/Empowerment, Sistem pengesanan yang efektif, Berdaya ilmu, Sekolah Penyayang, Budaya Cemerlang dan Ketiadaan Kegagalan/Zero Defect ) Ini semua memerlukan sistem pendidikan dan guru yang memanfaatkan kemudahan teknologi canggih, bersifat terbuka, cintakan ilmu dan sedia menerima perubahan dalam sistem pengajaran di kelas-kelas. Ini jelas dengan apa yang sedang berlaku sekarang.
“ Saya mahukan lonjakan dalam peningkatan prestasi. Lagipun sebelum kita dapat mencapai taraf Negara bertaraf dunia atau world class nation kita mesti terlebih dahulu mempunyai sistem pendidikan yang bertaraf dunia kerana sistem pendidikan yang bertaraf dunialah yang akan melahirkan Negara yang bertaraf dunia. Oleh itu kita terpaksa melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dalam masa yang sengkat ini. Kita tidak perlu membuang masa lagi kalau sesuatu itu tidak kita fikirkan baik-baik “
( Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak : Menteri Pelajaran Malaysia dalam Dewan Budaya,Disember 1995)
Transformasi yang dilakukan oleh kementerian Pelajaran Malaysia untuk meletakan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia adalah satu langkah yang bijak. Ia bukan sekadar ritorik atau ungkapan untuk halua telinga. Kita perlu merialisasikannya. Apabila disebut “ kita “ ia bermaksud tindakan semua lapisan masyarakat. Bukan sekadar kepada mereka yang mengaku sebagai pendidik di
mana-mana institusi pendidikan malah kepada semua yang mengaku sebagai rakyat Malaysia. Inilah satu daripada cara kita menghayati Wadah 1Malaysia yang sedang kita praktikan sekarang.
Kita semua bertanggungjawab untuk membawa pendidikan di Malaysia bertaraf dunia. Untuk mencapai hasrat ini memerlukan sedikit pengorbanan dari semua pihak mengikut mode masing-masing. Kementerian Pelajaran bertanggungjawab membina Dasar dan menyampaikan kepada pelaksana iatu institusi pendidikan
( sekolah) melalui agen-agen tertentu iaitu Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan Kesatuan-Kesatuan Guru yang sedia ada.
Pernahkah kita terfikir bahawa keadaan yang kita lalui sekarang adalah tafsiran dari Wawasan dan Cabaran 2020 serta Wawasan Pendidikan 2020. Antaranya ialah Kemudahan dan peluasan penggunakan kemajuan teknologi ICT, Kemasukan pelajar-pelajar luar ke IPTA/S dan Kolej-Kolej di Negara kita, Penubuhan IPTA/S dan Kolej-kolej yang baru di seluruh Negara, Menaik taraf ITM kepada UITM begitu juga IPG bermula daripada UPSI, kemudahan dan galakan guru-guru belajar ke peringkat ijazah melalui Universiti Terbuka dan PJJ, Program universiti berkembar antara Universiti Luar dengan Universiti tempatan, Program Permata Negara dan Permata Seni, Program Literasi dan Numerasi, Pemansuhan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, Memartabat Bahasa Melayu Memperkasa Bahasa Inggeris, Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, Prasarana makmal dan bilik komputer di semua sekolah, Pembinaan bangunan-bangunan tambahan di sekolah, Mewujudkan Jawatan guru Cemerlang, Penyelarasan gaji guru, Pemberian elaun-elaun tertentu, Menaik taraf kelayakan menjadi guru, penghargaan dan menaik taraf guru-guru berpengalaman kepada satu jawatan yang lebih tinggi melaui proses Fast- Track.
Proses pelaksanaannya kadang-kadang agak terganggu disebabkan kurang kefahaman tentang dasar dan berlaku ketirisan dalam Delivery system.
Apabila keadaan seperti ini wujud kepada proses tersebut maka ia akan menjadi masalah kepada pelaksana dan seterusnya mewujudkan beberapa masalah lain yang saling berkait dan seterusnya menjadi beban. Mereka yang menanggungnya adalah guru-guru kita di sekolah. Keadaan ini akan menjadi lebih sulit apabila terdapat agen-agen seperti kesatuan-kesatuan guru yang diharapkan memberi kerjasama tetapi tidak berbuat demikian kemungkinan mereka sudah lupa atau kurang faham atau tidak mengikut perkembangan wawasan Pendidikan 2020 malah mempertikaikan apa yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran. Di sini kita lihat terdapat sedikit kelemahan yang perlu dilihat dan difikirkan semula oleh semua pihak.
Bukan sahaja keupayaan akademik itu yang perlu ditingkat malah sistem pengurusan juga perlu ditingkat disemua peringkat. Bermula dari cetusan idea wawasan 2020 dan cabarannya kemudian ditafsir dalam enam teras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ( Membina Negara Bangsa, Membangun Modal Insan, Memperkasa SK, Merapatkan Jurang Pendidikan, Memertabat Profesion Keguruan dan Melonjak Kecemerlangan Institusi Pendidikan ) kemudian dihalusi dengan National Key Result Area , Ministery Key Result Area dan Key Performance Indicator dan kemudian diterjemahkan dalam Sasaran Kerja Tahunan. Persoalannya sejauh mana perkara ini disambut dengan rasa tanggungjawab. Pengurus sekolah yang dipanggil Pengetua dan Guru Besar perlu menjadi pemain utama. Kebijaksanaan kumpulan ini adalah dituntut untuk menjadi pemudah cara dan bukannya mewujudkan onar dalam proses transformasi.
Kita tidak nafikan terdapat pengurus sekolah yang berjaya dan disukai oleh rakan kongsi ( guru ) di sekolah.Kemungkinan mereka tidak bersikap pilih kasih, pengagihan tugas dan tanggungjawab yang seimbang kepada semua guru dan kakitangan, bersifat terbuka dan menghargai, pendengar dan penyelesai masalah yang baik dan berbagai ciri terpuji sebagai pemimpin. Pengetua dan Guru Besar adalah orang yang terpilih. Walaubagaimanapun mereka perlu akur bahawa banyak lagi perkara yang perlu dipelajari. Perasaan ego, rendah diri, mementingkan diri sendiri dan semua perasaan negatif perlu dijauhi demi merialisasikan wadah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kesatuan-kesatuan yang berjuang untuk guru-guru perlu memainkan peranan yang utama. Selain daripada menjaga kebajikan guru, mereka juga perlu melihat perjuangan Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai perkara pokok perjuangan kesatuan. Kita perlu menjiwai perjuangan tersebut supaya rohnya meresap ke dalam jiwa insan yang mengaku dirinya sebagai guru. Pihak Kementerian Pelajaran tidak pernah mulupai pengorbanan insan yang dipanggil guru
Kita tidak boleh menafikan kebenaran bahawa guru-guru terbeban dalam proses merialisasikan wadah itu. Guru-guru juga tidak menafikan bahawa tugas dan proses pengajaran dan pembelajaran ( P&P ) itu adalah tugas utama dan sangat penting tetapi terdapat perkara-perkara atau tugasan lain yang membayangi tugas utama P & P tersebut. Antaranya ialah pengurusan sesuatu program yang dijalankan samada di sekolah, daerah, negeri mahupun di peringkat kebangsaan tidak kurang juga yang melibatkan NGO, pengurusan dan pendokumentasian fail yang banyak, P&P bagi subjek yang bukan opsyen, pengurusan bilik-bilik khas, menjalankan aktiviti ko-kurikulum di sebelah petang atau hujung minggu termasuk mengurus pusat sumber sekolah. Tempoh masa yang panjang perlu diperuntukan untuk menangani bebanan ini. Kadang-kala guru terpaksa menghabiskan masa sepanjang hari di sekolah termasuk pada hari Sabtu dan Ahad semata-mata untuk pengurusan dan kerja-kerja perkeranian. Dalam keadaan begini P&P telah menjadi tugas sampingan. Di sini berlaku ketidak akuran pihak Pengetua dan Guru Besar kepada SPI Bil 8/2005 iaitu
Pelaksanaan Bekerja lima hari seminggu. Antara penyumbang bebanan guru yang tidak kurang hebatnya adalah nisbah guru murid ( TP ) dan guru opsyen/ bukan opsyen. Kesannya ialah bilangan murid yang ramai dalam sesuatu kelas ditambah lagi guru mengajar subjek yang bukan opsyen. Lebih malang lagi apabila guru dinilai melalui pencapaian pelajar dalam peperiksaan dan ujian.
Rata-rata guru tahu masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar. Latihan yang standard perlu disedia, diberi,disemak dan ditanda. Kajian tindakan perlu dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut tetapi kerenah yang dinyatakan di atas telah mengganggu dan membebankan guru. Kebelakangan ini terdapat banyak aplikasi, program dan sistem yang diwujudkan oleh KPM, JPN dan PPD. Pihak sekolah dan guru perlu menyediakan maklumat yang diperlukan dan disempurnakan mengikut masa yang telah ditetapkan. Sekiranya gagal disempurnakan ianya akan mengganggu data yang dikumpul untuk digabung dan seterusnya mengganggu sistem di PPD, JPN dan KPM.
Dalam masa guru-guru tertekan dengan beban yang dihadapi masih terdapat guru-guru termasuk Pengetua dan Guru Besar yang hebat kerana dapat menguruskan perkara-perkara yang lebih penting di luar bidang pendidikan dan mendatangkan pendapatan sampingan. Malah, kadang-kala menjadi sumber pendapatan yang utama berbanding pendapatan sebagai guru. Bagi kumpulan ini mereka akan mengatakan bahawa mereka dapat membahagikan masa dengan baik, pendapatan tidak mencukupi, tanggungan besar dan seribu satu macam alasan. Sekiranya pekerjaan sebagai guru ini tidak menyenangkan, tidak menyeronokan, tidak mendatangkan hasil yang lumayan, silalah buat pilihan kerana sekolah bukan lubuk duit.
Terdapat juga guru-guru yang mengendali, mengurus dan mengajar di pusat-pusat tusyen di luar waktu samada pagi, petang, malam mahupun hujung minggu apatah lagi waktu cuti sekolah. Tidak kurang juga guru-guru yang mengajar tusyen dari rumah ke rumah. Begitulah hebatnya semangat guru-guru tersebut. Janganlah sampai seperti kata pepatah melayu “ kera di hutan disusui anak di rumah mati kelaparan ”. Adakah kita sudah menyempurnakan tugas kita sebagai guru di sekolah dengan sebenar-benarnya. Sekira jawapannya tidak atau tidak pasti , bawalah bertaubat.
Profesion keguruan adalah sangat berbeza berbanding pekerjaan-pekerjaan lain. Selain mengajar guru juga mendidik. Sebenarnya masa guru bersama murid yang tersuratnya seperti yang kita lihat didalam jadual waktu persekolahan tetapi masa yang tersirat adalah lebih dari itu. Kadang-kala waktu bersama murid ini lebih panjang berbanding masa guru bersama anak-anak dan keluarga sendiri.Langkah Kementerian Pelajaran melantik Juruteknik Makmal Komputer, Pembantu guru dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (Program Rintis) dan beberapa program lagi adalah sangat-sangat disokong. Apa salah kiranya kalau diperluaskan kepada bahagian-bahagian lain di sekolah yang
sangat memerlukan pertolongan. Antaranya adalah pembantu pusat sumber sekolah (jawatan khas), pengendali sistem maklumat, Pembantu bengkel-bengkel kemahiran hidup, Juruteknik yang difikirkan perlu ditempatkan di sekolah, Jurulatih sukan/ permainan dan badan beruniform
Penstrukturan semula yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kepada Bahagian-Bahagian di KPM seterusnya di Jabatan Pelajaran Negeri dan yang terbaharu akan dilaksanakan kepada Pejabat Pelajaran Daerah merupakan langkah terbaik bagi menjamin pengurusan yang lebih berkesan supaya manfaatnya diperoleh oleh semua pihak. Walaubagaimanapun perlu dilihat keberkesanannya kepada pemain-pemain kita di sekolah. Saya lihat perlantikan guru Kaunseling sepenuh masa di sekolah menengah melalui SPI Bil 3/1996 adalah menepati. Pada pandangan saya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia boleh menggunakan konsep tersebut bagi perlantikan Guru Penolong Kanan di sekolah samada di Sekolah Rendah mahupun di Sekolah Menengah. Kita perlu fikirkan implikasi penstrukturan semula ini kepada kapasiti yang ada di sekolah.Sepuluh sektor baru yang ada di JPN sekarang telah menerbitkan berbagai kesan yang kadang-kadang memeningkan pentadbir dan guru kita di sekolah. Apatah lagi apabila penstrukturan di Pejabat Pelajaran Daerah dilaksana sepenuhnya.
Tidak ada jalan pintas untuk menjadikan pendidikan di Malaysia Bertaraf Dunia. Ingatlah sasaran 2020 telah terlalu singkat. Apa yang telah diungkapkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak (Menteri Pendidikan Malaysia 1995 – 1999)
di awal bicara ini telah 15 tahun berlalu. Apakah kita mahu melihat perkara itu berlalu begitu sahaja. Apakah kita lebih suka duduk dan menyalahkan antara satu sama lain. Adakah kita benar-benar faham peranan kita sebagai guru dan pelaksana Dasar Kementerian Pelajaran.
Guru datang dan guru pergi. Siapakah yang akan memastikan momentum perjuangan kita dikekalkan. Janganlah sampai kita kehilangan punca “ yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran ”
Saya ingin mengucapkan setingi-tinggi tahniah kepada Pengarah Pelajaran Negeri Johor kerana telah berjaya mentafsir Wawasan Pendidikan 2020 untuk dilaksanakan mengikut kapasiti negeri Johor . Beliau seorang yang sentiasa berfikiran ke hadapan bersesuaian dengan Motto JPN Johor One Step Ahead dan amalan Do it Now, masa singkat tetapi sempat, boleh berkira-kira tetapi janganlah berkira. Setiap transformasi yang dilakukan pasti terdengar suara-suara nakal di belakang tetapi saya yakin beliau akan menjadikannya sebagai cabaran bukan masalah. Walaubagaimanapun kepada semua pihak dalam masa kita laju di hadapan sekali-sekala perlu juga menoleh ke belakang untuk melihat rakan –rakan kita agar tidak tercicir.
Selagi kita dipanggil guru di semua peringkat samada tadika, sekolah rendah, menengah, IPG, kolej, Universiti, mahupun di sekolah agama rakyat sekalipun perlu menghayati wawasan serta cabaran 2020 dan wawasan Pendidikan 2020 kerana di tangan kitalah sebenarnya terletak tugas dan tanggungjawab menjadikan pendidikan di Malaysia Bertaraf Dunia.
Marilah kita menjadi guru berjiwa pendidiK.
Dikesempatan ini saya menyeru kepada semua guru marilah kita merapatkan barisan , mengeratkan genggaman, bulat tekad, kuatkan semangat seterusnya kita tempuh ranjau di hadapan biarpun terluka demi untuk anak-anak dan generasi kita yang akan datang.

No comments:

Post a Comment